Assalamualaikum w.b.t dan Salam Sejahtera para pembaca. Semoga semuanya sihat-sihat belaka dan dirahmatiNya.
Kini, sudah masuk tahun 4 pengajian ku dalam Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang. Sebelum kami memulakan pengajian kami di tahun keempat, kami perlu menjalani internship di mana-mana institusi perundangan seperti firma guaman, mahkamah,balai polis dan lain-lain lagi. Saya memilih untuk menjalani latihan industri di firma guaman di Cheras, Kuala Lumpur. Sepanjang latihan industri, saya juga didedahkan dengan pengetahuan asas Tatacara Sivil oleh majikan-majikan saya di situ. Mereka mengajar akan langkah-langkah dalam memulakan suatu tindakan sivil. Di mana suatu tindakan sivil itu dimulakan dengan penfailan Writ atau Originating Summon kemudian Penyata Tuntutan, Memorandum Kehadiran atau Judgemen In Default, Penyataan Pembelaan dan Tuntutan Balas oleh Defendan, Jawapan kepada Pembelaan dan Pembelaan kepada Tuntutan Balas oleh Plaintif. Mereka juga mengajarkan kepada saya apakah dokumen yang dikategorikan sebagai Ikatan Pliding.Pendedahan awal berkenaan pliding ini amat membantu saya dalam memahami dengan lebih baik subjek Tatacara Sivil 1 yang saya pelajari dalam Sem 7 pengajian saya.
Di mana dalam subjek ini kami diberi dua kes atau masalah untuk diselesaikan bagi setiap firma simulasi. Kedua-dua kes ini memerlukan kami untuk menfailkan dan menyerahkan pliding kepada pihak mahkamah dan peguam lawan bagi mendapatkan Penghakiman Terus ataupun diteruskan dengan Perbicaraan. Di samping itu, dalam subjek ini juga, pensyarah kami Dr. Shahrul Mizan bersama Dr. Haniwarda dan Dr Safinaz mengajar dengan pelbagai medium pengajaran seperti melalui kuliah,tutorial, Mooc.learning.com dan bengkel-bengkel. Di Mooc.learning.com , pengajaran dan pembelajaran dijalankan dalam bentuk video dan latihan yang perlu dijawab oleh setiap pelajar dalam setiap modul dan topik demi memantapkan lagi pemahaman dan penguasaan topik oleh para pelajar. Manakala jika di bengkel kami diajar dan didedahkan secara langsung cara merangka dan menulis pliding dengan betul dan diajar tentang bagaimana untuk mengendalikan kes secara praktikal dalam peringkat Pre-Trial Management dan Summary Judgement di Mahkamah.
Kami juga diajar akan adab di dalam Mahkamah, adab perlakuan dan komunikasi ketika berhadapan dengan Pendaftar dan Hakim dalam mengendalikan kes masing-masing. Selain itu, sepanjang tempoh pembelajaran ini juga kami belajar bagaimana membuat hujahan bertulis untuk setiap kes yang diberi. Dalam masa yang sama, melatih diri kami untuk menjalankan persediaan dari segi hujahan dan autoriti seperti statut-statut dan kes-kes berkaitan demi memantapkan hujahan masing-masing dengan membuat Ikatan Autoriti. Tidak dilupakan juga,kami didedahkan agar sentiasa peka dan teliti dalam menulis dan menfailkan pliding dalam masa yang ditetapkan. Isi kandungan pliding yang difailkan mestilah betul dan benar-benar melindungi hak-hak dan keadilan klien selain perlu untuk pihak peguam membalas segala pliding yang diserahkan oleh peguam lawan di mana pensyarah menekan pentingnya untuk menfailkan Afidavit Jawapan Balas kepada Defendan yang perlu dilakukan oleh peguam plaintif jika ingin diberikan Penghakiman Terus oleh Mahkamah bagi kes yang dikendalikan oleh mereka.
Di samping itu, selain perlu memastikan menfailkan isi kandungan pliding dengan betul kami juga perlu memeriksa kandungan pliding selari dengan Mahkamah. Akhir sekali, kami perlu menyediakan Bil Perkhidmatan Guaman kepada klien. Kesemua aktiviti-aktiviti yang dijalankan ini secara tidak langsung juga membuatkan kami lebih peka akan harga dalam membuat penfailan seperti yang ditetapkan dalam Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012 yang perlu dijadikan panduan dalam mengendalikan kes sivil.
Akhir sekali, saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih ke atas semua pensyarah bagi subjek Tatacara Sivil 1 dalam bertungkus lumus dan bekerja keras mengajar kami sepanjang semester ini. Selain itu, saya juga ingin mengucapkan terima kasih juga kepada rakan firma saya iaitu Firma 8 diatas segala kerjasama dan tunjuk ajar sepanjang semester ini. Saya berasa sangat gembira dan bersyukur dengan segala ilmu dan pengalaman yang didedahkan sepanjang mempelajari subjek Tatacara Sivil 1 ini. Terima kasih daun keladi .